Thursday, February 15, 2018

Kamarudin - Selepas 8 Tahun Menyepi, Kini Calon PPBM Pasir Puteh


Selepas  lapan tahun menyepi daripada politik, bekas ketua UMNO bahagian Pasir Puteh selama 15 tahun, Kamarudin Mohd Noor kini menyertai PPBM dan bakal menjadi calon Parlimen Pasir Puteh dalam pilihan raya umum akan datang.

"Saya terpanggil untuk menyertai PPBM selepas ia ditubuhkan dengan satu alasan, berkhidmat untuk negara, kerana melihat apa yang berlaku kepada negara ketika ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau membuat keputusan itu apabila melihat pemimpin UMNO yang giat mengkritik 1Malaysia Development Bhd (1MDB), bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan juga bekas timbalan presiden UMNO Muhyiddin Yassin kini bersama PPBM.

"Kalau rakan rapat saya Muhyiddin rela dipecat kerana mengkritik 1MDB dan Dr Mahathir yang sudah 92 aktif kembali, kenapa tidak saya," kata bapa kepada 10 anak ini yang rapat dengan bekas timbalan perdana menteri yang dipecat, Muhyiddin.

Kamarudin, 70, dijangka berdepan dengan tokoh-tokoh besar dari UMNO dan PAS dalam pertandingan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti di kawasan Parlimen Pasir Puteh.

PAS dijangka meletakkan Nik Zawawi Salleh, setiausaha Majlis Syura Ulama, badan tertinggi dalam parti itu manakala UMNO dijangka akan meletakkan Ashraf Wajdi Ahmad Dasuki, timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

"Kelebihan saya adalah, hanya saya orang tempatan Pasir Puteh manakala kedua-dua calon PAS dan BN itu orang luar," kata Kamarudin penuh yakin.

Ashraf dari Tumpat.
Nik Zawawi berasal dari Besut, Terengganu daerah berjiran dengan Pasir Puteh manakala Ashraf berasal dari Tumpat, Kelantan.

Sejak tiga pilihan raya umum lalu, calon PAS sentiasa menang di parlimen Pasir Puteh mengalahkan calon UMNO. Dalam PRU13, calon PAS, Nik Mazian Nik Mohamad menang mengalahkan calon BN, Tuan Mustaffa Tuan Mat dengan majoriti 1,888 undi.

Walaupun tidak terlibat dengan prapenubuhan PPBM, Kamarudin adalah antara pimpinan awal yang dinamakan PPBM. Beliau dilantik sebagai ketua penerangan parti itu di peringkat nasional di samping pengerusi PPBM Kelantan dan ketua PPBM bahagian Pasir Puteh.

Menurut beliau, sehingga kini, PPBM sudah mengenalpasti 40% calon daripada 52 kawasan Parlimen yang diperuntukkan Pakatan Harapan (PH) kepada parti itu.

Beliau menjangka, 50% daripada calon PPBM nanti adalah bekas pemimpin UMNO yang menyertai PPBM sebagaimana beliau.

"Hanya satu kebimbangan saya iaitu logo. Tanpa penggunaan satu logo, ia akan memberikan masalah kepada pengundi," katanya merujuk kepada tindakan Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang masih belum meluluskan logo PH.

Kamarudin, bekas naib presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim),  menyertai UMNO pada 1986, selepas empat tahun rakan rapat beliau, Anwar Ibrahim berbuat demikian. 

Sehingga kini beliau masih dianggap rakan rapat Anwar walaupun tidak menyertai PKR yang ditubuhkan Anwar dan kekal bersama Dr Mahathir dalam UMNO ketika rakan rapatnya itu dipecat.

Beliau menang dua kali dalam pilihan raya iaitu untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerak di Pasir Puteh. Namun, usahanya untuk bertanding di parlimen Pasir Puteh pada 1990 dan 1999 tidak berjaya.

Kamarudin dianggap antara pemimpin UMNO yang mempunyai nilai agama yang tinggi sesuai dengan penglibatan beliau dengan Abim, sebuah NGO Islam yang dihormati di negara ini.

Menurut Mohamad Zainal Abidin Hussin, seorang bekas penyelidik di Pusat Kajian Strategik (PKS), faktor Kamarudin itu cukup besar. 

"Bagi saya, faktor Kamarudin sendiri akan menyebabkan PH boleh mendapat separuh dari undi UMNO sebelum ini, khasnya golongan terpelajar dan juga undi PAS sebelum ini," kata bekas penyelidik di badan bawah kerajaan negeri Kelantan itu.

Sebelum berehat daripada politik mulai 2008, Kamarudin dikira pemimpin UMNO paling berpengaruh di Pasir Puteh selepas 15 tahun menjadi ketua UMNO bahagian itu.

Zainal yang juga berasal kawasan DUN Semerak yang pernah diwakili Kamarudin, mengakui pemimpin PPBM ini mempunyai pengaruh besar di Pasir Puteh.

"Beliau bekas Adun kawasan saya. Walaupun dia tidak kenal saya tetapi orang kampung saya sangat suka kepada dia," kata Zainal yang kini menyertai Amanah.

Tambahnya, beliau yakin kehadiran Kamarudin akan menambahkan nama baik PH Kelantan di mata pengundi negeri itu yang cenderung untuk menyokong pemimpin dengan latar belakang agama yang baik.

PKR Berhasrat Tanding Banyak Kerusi Di Kelantan Tetapi???



Seorang pemimpin cawangan PKR di Kelantan mempertikaikan hasrat partinya mahu bertanding di 15 kerusi negeri pada pilihan raya umum ke-14 yang akan datang, dengan berkata parti itu merupakan anggota paling lemah Pakatan Harapan di negeri itu.

Ahmad Syauqey Abdul Ghani, yang mengetuai jentera pilihan raya PKR Kota Bharu, berkata parti itu juga tidak sepatutnya tamak dalam menuntut kerusi di Kelantan.
“Itu bagi saya melampau, tidak perlu jadi jaguh berebut kerusi,” katanya kepada FMT, mengulas kenyataan Pengerusi PKR Kelantan, Abdul Aziz Abdul Kadir.

Bulan lalu, Aziz berkata PKR berhasrat bertanding di 15 daripada 45 kerusi di Kelantan.
Syauqey mengkritik PKR peringkat negeri, dengan menuduhnya cuba “berebut kerusi”.

Menurutnya, PKR perlu memberi keutamaan kepada Amanah dan PPBM di Kelantan.

Beliau juga membayangkan parti itu juga ketinggalan di belakang DAP dalam aspek kekuatan jentera pilihan raya, walaupun pemimpin tempatan PKR diangkat dalam jawatan kerajaan dan lantikan politik.

“PKR adalah parti paling lemah di Kelantan. Amanah dan PPBM paling kuat dan ke-3 DAP,” katanya.

Aziz...mahu 15 kerusi DUN
Menurutnya, PKR juga tidak mempunyai sokongan kewangan seperti PPBM, yang menurutnya disertai “tauke-tauke” yang berpengaruh dari UMNO.

“Kita tidak boleh nafi kekuatan mereka,” katanya.

“Parti lain dah ada bilik gerakkan dan bendera, tapi PKR bendera pun tidak ada, bilik gerakan tiada. Jadi kami bimbang kelemahan itu akan menyebabkan PKR menjejaskan kemenangan PH di Kelantan,” katanya.

Sebaliknya, Syauqey mendakwa PKR sebuah parti miskin di mana pemimpinnya merupakan penerima skim tunai di bawah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Kalau kita tengok PKR Kelantan separuh daripada jawatankuasanya penerima BR1M, itu kita kena tahu dari segi kekuatan baik dari segi kewangan, pengaruh, sokongan serta jentera parti,” katanya.

Syauqey berkata PKR selayaknya bertanding paling banyak 4 kerusi negeri dan 2 kerusi Parlimen berdasarkan prestasi parti itu di Kelantan.

Pada pilihan raya lalu, PKR bertanding 5 kerusi negeri dan 3 kerusi Parlimen. Parti itu hanya menang di Guchil di peringkat negeri.

Manakala di peringkat Parlimen, PKR tewas di kesemua 3 kawasan. Bagaimanapun, satu-satunya ahli Parlimen tunggal PKR di Kelantan ialah Datuk Kamaruddin Jaffar, selepas wakil rakyat PAS itu menyertai PKR.

Syauqey berkata selain Guchil yang dimenangi PKR, 3 lagi kerusi DUN yang layak ditandingi PKR ialah Nenggiri, Pengkalan Pasir dan Tanjong Mas.

Pakatan Harapan sebelum ini memperuntukkan 7 kerusi Parlimen di Kelantan kepada PPBM, Amanah (5) dan PKR (2) iaitu Tanah Merah dan Pasir Mas, sementara kerusi negeri belum dimuktamad.

Sementara itu, Aziz ketika dihubungi FMT berkata keputusan akhir mengenai jumlah kerusi ditandingi PKR terserah kepada pucuk pimpinan.

Beliau juga menerima kritikan ahli terhadap cadangannya supaya PKR bertanding di 15 kerusi negeri.

“Kalau cadangan Tun Dr Mahathir Mohamad pun dipertikai, apatah lagi pandangan saya,” kata Aziz.


Monday, October 23, 2017

BN Atau HARAPAN - PAS Tiada Peluang Di Kelantan


PAS tidak ada peluang di Kelantan.

Harapan PAS untuk kekalkan kerajaan yang sedia akan berkecai kerana akan berlaku tsunami politik di ngeri berkenaan.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali meramalkan tsunami politik tidak mustahil bakal melanda Kelantan pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Ibrahim menjelaskan, berdasarkan senario semasa pemerintahan Kelantan,  ia sudah bertapak lama dan kini tiada impak atau perubahan besar ditunjukkan.

Keadaan itu katanya mungkin mendatangkan rasa cemuh kepada rakyat.

"Tok guru (Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) pun dah tak ada dan orang pun dah mula bercakap sejak PAS memerintah selama lebih suku abad, tak ada apa (di Kelantan).
"Pendapatan kerajaan negeri tak bertambah, asyik tebang balak saja. Pekerjaan kurang, rakyat Kelantan ramai berhijrah ke luar," katanya.

Beliau mengatakannya pada sidang media selepas program ramah mersa dan agihan sumbangan kepada penduduk di Kampun Hutan Chengal Tendong, Pasir Mas, semalam.

"Kalau rakyat rimas sekarang, saya tidak tolak kemungkinan mereka akan balik pada BN. Begitu juga dengan (peluang) HARAPAN, tapi bukan pada PAS, " tegasnya yang berkecimpung dengan politik Kelantan sejak 1974.


Di sebalik itu sejarah membuktikan PAS cukup kuat di Kelantan namun akhirnya tumbang dalam PRU kelima yang diadakan pada 1978.

"Itulah tsunami politik yang boleh berlaku pada bila-bila masa jika rakyat mahukannya.

"Begitulah pada 1990 apabila BN tumbang di Kelantan," katanya merujuk kepada detik PAS kembali mentadbir negeri itu.

Beliau yang dikenali sebagai ‘Tok Him’ berkata tsunami itu kemungkinan berlaku  selepas negeri itu diperintah PAS sejak 27 tahun lalu.

Bagi beliau, tsunami berkenaan hanya akan berpihak sama ada kepada BN atau Pakatan Harapan (HARAPAN).

Walaupun tsunami dijangka berlaku kali ini, bekas timbalan menteri itu menegaskan, PAS tidak akan mendapat manfaat daripadanya.

Ibrahim adalah bekas anggota UMNO  yang pernah menjadi wakil rakyat bagi Pasir Mas pada PRU ke-12 lalu.

Ibrahim bertanding menggunakan tiket PAS ketika menyertai pilihan raya pada 2008. Ia berikutan pendiriannya yang tidak merestui cara kerajaan pimpinan perdana menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau kemudian menubuhkan PERKASA.


Ibrahim gagal mempertahankan kerusi Pasir Mas pada PRU ke-13 lalu selepas kecundang kepada Nik Abduh Nik Abdul Aziz dengan majoriti 8,047 undi.

Mengambil kira sejarah politik di negeri Cik Siti Wan Kembang itu, Ibrahim menegaskan BN pula sudah lama tidak mentadbir Kelantan, dan harus diingat rakyat juga pernah selesa dengan parti berkenaan.

"Dulu BN pernah menang di Kelantan dan memerintah hampir 18 tahun. Rakyat tahu keupayaan parti BN.

Untuk rekod PAS berjaya merampas Kelantan pada PRU ke-8 dengan bantuan Parti Semangat 46 yang diketuai Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.
Ibrahim sendiri adalah salah seorang pemimpin utama parti berkenaan.

Menurut Ibrahim semua perkembangan politik Kelantan yang disebutnya itu berlaku ketika beliau terlibat dalam politik.

Sementara itu mengulas pengamatan melalui faktor atas kertas, Ibrahim berkata, kemungkinan besar wujudnya pertandingan tiga penjuru pada PRU ke-14 dan ia bakal menguntungkan BN.

"Saya bagi contoh mudah. Sekarang ini BN ada lima parlimen iaitu Gua Musang, Jeli, Tanah Merah, Ketereh dan Machang.

"Di Bachok, Datuk Dr Awang Adek Hussin kalah 200 undi sebelum ini.

Maknanya kalau tiga penjuru nanti, undi PAS akan pergi pada HARAPAN dan BN akan menang," katanya sambil menyifatkan PAS mungkin hanya berjaya mempertahankan beberapa kawasan yang memang kubu kuat mereka saja.

(Sumber- Malaysiakini - Tajuk asal – ‘Tok Him ramal tsunami landa Kelantan lagi’)